01/05/2026
Kegembiraan keluarga menghantar anak menyambung pengajian Sabtu lepas bertukar menjadi duka minggu ini apabila mereka menerima berita kematian tragis gadis berusia 19 tahun, hari ini.
Abang mangsa, Mohd Faris Zulkifly, 21, berkata keluarganya dimaklumkan oleh pihak polis sekitar jam 12.30 tengah hari mengenai pemergian adiknya, Nurfisya Zulkifly, tanpa penjelasan terperinci pada awalnya.
Menurutnya, mereka sekeluarga terus bertolak dari Kuala Kangsar ke Kelantan sejurus menerima panggilan tersebut dan tiba di Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) pada sebelah malam.
“Baru Sabtu lepas kami hantar dia kembali ke kolej untuk semester baharu. Tidak sangka perkara sebegini berlaku,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, keluarga hanya mengetahui butiran lanjut mengenai kejadian selepas membaca laporan berita ketika dalam perjalanan ke Kelantan.
“Sewaktu itu kami sudah hampir sampai di Jeli. Bila tahu apa yang berlaku, ibu bapa kami tidak dapat menahan kesedihan,” katanya.
Mohd Faris berkata, sepanjang cuti sebelum ini, adiknya tidak menunjukkan sebarang perubahan dan sempat meluahkan keinginan menikmati makanan kegemarannya.
Katanya, arwah yang merupakan anak kedua daripada empat beradik juga pernah berkongsi impian untuk memiliki sebuah kereta sendiri selepas menamatkan pengajian.
“Dia baru memasuki semester ketiga. Kami harap pihak berkuasa dapat segera menahan pelaku dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Sebelum ini, mangsa yang merupakan penuntut Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) ditemukan tidak bernyawa di Kampung Simah, Ketereh dalam keadaan mencurigakan. Kes berkenaan kini disiasat sebagai kes bunuh oleh pihak polis.