20/04/2026
SIARAN MEDIA
USAHAWAN TVET TEMPATAN KONGSI INSPIRASI DALAM PROGRAM NEXTGENBIZ-IPMA MARA KEDAH
SUNGAI PETANI, 20 April 2026 – Program NEXTGENBIZ-IPMA anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) Negeri Kedah telah berlangsung dengan jayanya di Dewan TVET MARA Sungai Petani hari ini, melibatkan penyertaan seramai 200 peserta dalam kalangan pelatih institusi kemahiran dan bakal usahawan muda.
Program ini menampilkan seorang usahawan tempatan dalam bidang automotif sebagai penceramah jemputan, yang berkongsi pengalaman serta perjalanan kerjaya beliau dalam membina perniagaan dari peringkat asas sehingga berjaya menubuhkan syarikat sendiri.
Dalam sesi perkongsian selama satu jam itu, beliau menceritakan perjalanan bermula sebagai pelatih GIATMARA Sungai Petani bagi sesi 1/2006, di mana hanya mengambil masa enam bulan untuk menamatkan latihan dan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM Tahap 1). Beliau kemudiannya menimba pengalaman bekerja di beberapa bengkel sebelum berkhidmat di pusat servis Toyota.
Berbekalkan pengalaman dan kemahiran yang diperoleh, beliau telah menubuhkan Nas Auto SP Enterprise pada tahun 2008 yang terus beroperasi dan berkembang sehingga kini. Pada tahun 2024, perniagaan tersebut diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Nas Auto Sdn. Bhd., sebagai langkah memperluas operasi dan meningkatkan daya saing syarikat dalam industri automotif.
Sepanjang sesi tersebut, beliau turut menekankan kepentingan disiplin, pengalaman praktikal serta keberanian untuk memulakan langkah dalam bidang keusahawanan. Perkongsian yang disampaikan bukan sahaja berbentuk motivasi, malah turut menyentuh realiti sebenar dunia pekerjaan dan perniagaan bagi membantu peserta merancang hala tuju masa depan dengan lebih jelas.
Program berkenaan mendapat maklum balas positif apabila para peserta memberikan tumpuan penuh sepanjang sesi berlangsung. Pihak MARA Negeri Kedah turut menyatakan kepuasan terhadap penyampaian serta impak yang diberikan kepada peserta.
Beliau yang hadir atas kapasiti sebagai Pengarah Nas Auto Sdn. Bhd. serta Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kedah berharap agar lebih banyak program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing dan berdaya tahan.
TAMAT