20/11/2025
SEMANGAT MEMBARA! SKUAD ANTIDADAH SEDIA BERAKSI DI WTK CORPORATE PICKLERS
SIBU, 20 November - Satu majlis ringkas penyerahan jersi pemain pickleball SKUAD Antidadah Sibu (SKUAD) oleh Mohamad Mostapha Lasot, Pemilik Rizqi Shop Enterprise pada aktiviti SKUAD Aktif di sini petang tadi.
Jersi tersebut telah diterima oleh Diana Ipan, wakil SKUAD yang mewakili pasukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu dalam WTK Corporate Picklers yang akan berlangsung pada 22 hingga 23 November 2025 di SMI Pickleball Centre, Sibu.
Turut hadir, Raden Khairulzaman Raden Bustari, Pengerusi Jawatankuasa SKUAD Antidadah Sibu (JK SKUAD), Gloria Umi Dick, Setiausaha JK SKUAD, Nur Najwa Yusuf, Bendahari JK SKUAD dan ahli-ahli SKUAD.
Dalam amanat ringkasnya, Raden Khairulzaman menyeru kepada semua ahli agar menjaga disiplin, mengutamakan semangat kesukarelawanan dalam satu entiti SKUAD dan mengekalkan semangat kesukanan.
Beliau juga berharap penyerahan jersi ini dapat menyuntik semangat pasukan dan menarik minat ahli-ahli yang lain untuk bergiat aktif dalam sukan.
Melalui aktiviti sukan juga dapat mengekalkan kecergasan dan mempromosikan gaya hidup sihat serta menghindari daripada gejala dadah.
Terdahulu, pemain diperkenalkan secara rasmi kepada Raden Khairulzaman menandakan pengiktirafan serta sokongan terhadap pernyertaan ini dan majlis tersebut diakhiri dengan sesi bergambar kenangan.
SKUAD Aktif merupakan pengisian aktiviti amalan hidup sihat melalui sukan, aktiviti lasak, muzik dan riadah bersama perkongsian fakta kesan dan bahaya dadah.