09/01/2023
LAGENDA JAMBATAN TAMPARULI | KISAH CINTA ANTARA SOLUNGKOI & ROBINSON
Jambatan tamparuli ialah antara jambatan yang terkenal di Sabah. Bukan jk terkenal disebabkan lagu "Jambatan Tamparuli", malah jambatan ini terkenal disebabkan lagendanya.
Lagenda jambatan tamparuli diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Lagenda ini turut tersimpan di Muzium Sabah. Menurut lagenda, ketika jambatan tamparuli baru dibina, seorang pegawai British yang bernama Robinson telah jatuh hati dengan seorang sumandak tempatan yang cantik bernama Solungkoi. Cinta Robinson tidak bertepuk sebelah tangan kerana Solungkoi turut menyukai Robinson. Dalam pada masa yang sama, seorang lelaki tempatan bernama Intang turut menaruh hati terhadap Solungkoi tetapi tidak berbalas.
Pada ketika itu, jambatan tamparuli sering mengalami kerosakan setiap kali berlakunya banjir besar. Ini menyebabkan Robinson pening memikirkan solusi memandangkan ketiadaan jambatan akan menyukarkan mereka untuk berhubung dengan dunia luar. Akhirnya Robinson meminta pertolongan daripada Intang untuk mencari punca dan solusi kepada masalah tersebut.
Intang akhirnya berjumpa dengan seorang odu-odu (wanita tua) yang merupakan seorang bomoh. Menurut odu-odu, jambatan tersebut sering rosak kerana tombuakar (hantu air) marah kerana tapak pembinaan jambatan telah menganggu kawasan tempat tinggalnya. Odu-odu menyarankan agar upacara menjamu tombuakar dijalankan sebagai tanda minta maaf. Namun, masalah jambatan masih juga tidak selesai.
Rupa-rupanya, tombuakar menginginkan seorang sumandak yang cantik untuk dijadikan korban, sebagai temannya di dalam air. Pada ketika itu, sumandak yang paling cantik ialah Solungkoi. Kerana cemburu dan dendam, akhirnya Intang menghasut Robinson untuk mengorbankan Solungkoi.
Akhirnya, pada suatu malam, ketika penduduk kampung sedang berpesta minum tapai, Solungkoi dibawa ke jambatan dalam keadaan mabuk. Apabila Solungkoi sedar, dia mendapati bahawa badannya diikat dan digantung pada tali untuk diturunkan ke bawah cerucuk jambatan. Menurut syarat daripada Tombuakar, Solungkoi akan ditanam hidup-hidup di bawah jambatan.
Solungkoi mula menangis dan merayu untuk dilepaskan. Malangnya tiada siapa yang mendengar tangisan dan rayuan Solungkoi kerana berada dalam keadaan mabuk. Akhirnya Solungkoi pasrah. Sebelum ditanam, Solungkoi bersumpah, jambatan tamparuli tidak akan kukuh dan selalu rosak selagi Robinson tidak dikorbankan.
Selepas kejadian itu, Robinson mula berasa amal kesal. Robinson mengukir nama Solungkoi pada sekeping plat besi dan dilekatkan di cerucuk jambatan tempat Solungkoi ditanam. Kemudiannya, Robinson membunuh diri dengan terjun ke sungai tersebut.
Begitulah tragisnya kisah cinta mereka. Kesahihan cerita ini masih tidak dapat dipastikan. Namun menurut mereka yang pernah menyelam di bawah jambatan Sungai Tamparuli, plat besi dengan nama Solungkoi masih dapat dilihat sehingga ke hari ini.
sumber: sentiasapanas