27/11/2025
Waspada buat seluruh Bangsa Johor!
Saya telah menerima makluman terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) bahawa amaran Hujan Berterusan (Waspada) telah dikeluarkan bagi daerah Segamat dan Tangkak, dari 28 hingga 29 November 2025.
Amaran ini dikeluarkan berikutan jangkaan Sistem Cuaca Bertekanan Rendah yang kini berada di Selat Melaka dan dijangka bergerak ke timur merentasi Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang dalam tempoh tersebut. Pergerakan sistem cuaca ini turut memberi potensi berlakunya hujan berterusan di kawasan Utara Johor.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri bersama semua agensi keselamatan dan pengurusan bencana sedang bersiapsiaga, termasuk pemantauan paras air sungai, logistik dan penyelarasan tindakan di kawasan yang berisiko. Langkah ini bagi memastikan setiap keperluan bantuan dapat digerakkan segera sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.
Saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa, khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai atau kerap terjejas ketika musim hujan.
Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita dan melindungi negeri Johor daripada sebarang bencana.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah