22/11/2025
Bukan semua yang “inovatif” itu wajar disajikan kepada manusia.
Tular baru-baru ini seorang peniaga menjual cendol burger, dengan roti basah hancur dituang ais dan santan. Ini bukan inovasi.
Itu eksperimen rawak yang tak menghormati identiti makanan. Ia lebih kepada tindakan mengejar view dan populariti.
Apabila roti burger dijadikan alas kepada cendol, kemudian ditutup semula dengan roti… ia bukan memberikan pengalaman baharu. Ia hanya mencipta masalah tekstur, rasa bercelaru dan persembahan yang kelihatan seperti makanan yang tak tahu hala tuju.
Begitu juga “burger pari” dan “burger ikan keli” yang meletakkan seekor ikan di atas roti burger. Itu bukan kreativiti, itu gimik untuk viral dan ia amat merosakkan.
Makanan sepatutnya meraikan rasa, bukan mempersendakan bahan mentah.
Apabila inovasi hanya bermotifkan content dan views, bukan kualiti atau rasa, ia merendahkan martabat dunia kulinari dan yang peliknya ada juga pelanggan yang sudi menjadi tikus makmal untuk ‘eksperimen’ pelik ini.
Peniaga yang benar-benar hebat, mereka bukan kejar views. Mereka kejar rasa, kualiti, dan pengalaman makan yang jujur.