25/01/2014
INDUSTRI AUTOMOTIF DAN SOKONGAN RAKYAT
1. Jepun merupakan superpower dunia dalam industri automotif, dengan 6 daripada syarikat gergasi seperti Toyota, Honda, Nissan, Mitsubishi, dan Mazda menduduki ranking tertinggi dalam pengeluaran kereta di dunia. Industri automotif dan pembuatan lain menyumbang hampir 27.5% kepada GDP Jepun sekaligus melonjakkan ekonomi dan nama baik negara itu dengan keuntungan yang mereka perolehi dalam setiap tahun kewangan.
2. Toyota sebagai syarikat kereta terbesar Jepun dibentuk pada tahun 1930an,iaitu hampir 80 tahun yang lalu. Toyota bukanlah terus dapat menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi. Pada peringkat awal, kereta keluaran Toyota boleh dikatakan tidak berkualiti, contohnya, ketika berhenti di kawasan bukit, kereta keluaran Toyota yang awal dikatakan akan terundur ke belakang. Namun, itu cerita 60 tahun yang lepas, kini Toyota dikenali sebagai pengeluar kenderaan berkualiti tinggi dengan 'fuel consumption' yang baik dan harga yang berpatutan.
3. Apa sebab syarikat seperti Toyota dan Honda ini berjaya? Sebabnya mudah. Rakyat Jepun sentiasa memberi sokongan dan kritikan yang membina kepada syarikat itu. Mereka tidak memilih untuk mengutuk produk keluaran negara mereka secara terang-terangan yang sudah tentu akan memberi persepsi buruk dan menjatuhkan nilai komersial produk negara mereka.
4. Pengeluar2 kereta Jepun melalui zaman gelap mereka pada peringkat dan kemudian muncul sebagai kuasa dunia dalam bidang automotif. Selain itu, pakar2 dalam bidang automotif juga banyak dilahirkan atas kegigihan rakyat Jepun untuk mendalami bidang itu.
5. PROTON kini berusia hampir 30 tahun. Kita tidak boleh mengharapkan PROTON untuk dalam sekelip mata sahaja boleh menghasilkan kereta yang berkualiti tinggi seperti Toyota yang sudah berusia 80 tahun. Tapi PROTON sudah semakin matang. Kita dapat lihat kualiti kereta PROTON semakin meningkat,terutama bagi model Preve dan terbaru Suprima S. Kita sepatutnya berbangga kerana anak tempatan kita mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk menghasilkan kereta seperti itu.
6. Apa yang boleh kita lakukan untuk membantu indusri automotif negara kita? Pertama, kita galakkan mahasiswa atau bakal mahasiswa untuk mendalami bidang automotif,lahirkan lebih ramai jurutera pakar dan pekerja mahir dalam bidang itu. Kedua, bagi sokongan yang padu kepada industri ini dengan membeli kereta keluaran negara kita. Ketiga, jangan mengutuk secara terbuka, sebaliknya, salurkan kritikan yang membina secara terus kepada syarikat itu. Keempat, sekiranya ada idea yang boleh disumbangkan, berikan secara terus kepada syarikat.
7. Sudah tiba masa rakyat Malaysia berfikir dan bertindak dengan lebih matang sebagai rakyat dan pengguna. Belajar bagaimana hendak membantu membina produk negara kita, bukan membantu menjatuhkan produk kita.
8. Impak kepada rakyat adalah sangat besar sekiranya produk daripada syarikat negara kita dapat menembusi pasaran dunia. Keuntungan yang diperoleh nanti akan menyumbang kepada GDP negara, seterusnya membantu pertumbuhan ekonomi negara. Ekonomi yang mantap akan secara berperingkat menaikkan pendapatan rakyat dan taraf hidup juga akan meningkat. Kilang-kilang baru akan dibuka, peluang pekerjaan akan bertambah. Ini semua akan terjadi sekiranya kita menyokong sepenuhnya produk negara kita. Cuma, ia adalah proses yang memakan masa. Jadi, jangan mengharapkan perubahan itu akan berlaku dalam masa yang singkat. "Rome wasn't built in a day".
9. Saya belajar kejuruteraan automotif di Jepun, dan pensyarah2 saya merupakan bekas jurutera2 penting dalam syarikat seperti Toyota, Nissan dan Honda. Hampir kesemua mereka mengenali PROTON, dan mereka memuji negara kita kerana walaupun negara kita kecil, kita mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta. Pesan mereka, teruskan sokongan terhadap produk negara sendiri, kerana tanpa sokongan rakyat sendiri, mana2 syarikat pon tidak akan berjaya.
10. Secara peribadi, dengan perkembangan positif PROTON sejak diambil alih oleh DRB-HICOM, saya yakin bahawa PROTON akan mencapai tahap yang membanggakan negara satu hari nanti. Saya akan terus memilih untuk menyokong produk keluaran negara kita kerana bagi saya, ia adalah satu cara menunjukkan semangat patriotik dan cinta akan negara.